Tatatertib Dan Petua Untuk Pejalan Kaki Supaya Sentiasa Selamat

Tanda membenarkan pejalan kaki melintas

Keselamatan pejalan kaki lazimnya memerlukan sikap sentiasa berakal dan berwasapada. Source: Moment RF / Simon McGill/Getty Images

Get the SBS Audio app

Other ways to listen

Setiap hari ramai pejalan kaki, tanpa disedari, melanggar undang-undang jalanraya di Australia. Kesalahan ini tidak boleh dianggap remeh kerana padahnya teruk, bukan setakat disaman dan didenda, malahan ramai juga yang ditimpa kemalangan. Dalam episode Australia Explained kali ini, SBS Bahasa Melayu memberi petua bagaimana untuk mengelak dari melakukan kesalahan serta tatatertib bagi memastikan anda sentiasa selamat ketika berjalan kaki.


Keselamatan pejalan kaki lazimnya memerlukan sikap sentiasa berakal dan berwasapada.

Namun kadang-kala, sikap berakal tidak mencukupi.

Menurut Dimitra Vlahomitros dari Persatuan Automobil NRMA, pejalan kaki adalah antara golongan paling tinggi berisiko mengalami kemalangan.

Kata beliau, "Golongan yang paling berisiko termasuk kanak-kanak, warga tua dan mereka di bawah pengaruh dadah dan alkohol."
Jalan desa dengan bonggol kelajuan
Jika tiada lampu isyarat, pejalan kaki disaran mengguna lintasan putih "zebra crossing". Source: iStockphoto / Veronica Todaro/Getty Images/iStockphoto

Siapakah pejalan kaki?

Definasi istilah pejalan kaki atau "pedestrian" agak luas.

Menurut James Williams, Ketua Bahagian Polisi Kelab Di Raja Royal Automobile of Victoria, RACV, istilah pejalan kaki tidak terhad kepada mereka yang berjalan di kaki lima atau di laluan kenderaan sahaja.

"Sebenarnya, pejalan kaki atau 'pedestrian' termasuk mereka yang menolak basikal serta mereka yang mengguna alat beroda seperti papan selaju atau skateboard, kasut roda dan rollerblades, kerusi roda dan skuter mobiliti."
James Williams, Ketua Polisi, RACV

Tertangkap Ketika Melintasi Jalan

Undang-undang mematuhi lampu isyarat berkuatkuasa di seluruh Australia.

Jika anda melintas jalan ketika lampu masih merah atau anda melintas lebih dari 20 meter dari lokasi lampu isyarat, anda dianggap melakukan kesalahan berjalan sembarangan atau "jaywalking".

Harold Scruby ialah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pejalan Kaki Australia.

Scruby menerangkan, istilah berjalan sembarangan atau "jaywalking" berasal dari Amerika Syarikat.

Di Australia, undang-undangnya jelas.

Pejalan kaki dibenarkan melintas semua jenis jalan atau laluan kenderaan pada bila-bila masa sahaja asalkan selamat."

Namun, jika anda berada di New South Wales, apakah anda sedari bahawa melintas apabila lampu isyarat sudah mula berkelip merah adalah satu kesalahan.

Pejalan kaki mengguna lintasan garisan putih zebra crossing.
Anda dianggap melakukan kesalahan jika berjalan tanpa mengambil kira keselamatan pengguna jalan yang lain. Credit: vm/Getty Images

Di Manakah Harus Pejalan Kaki Melintasi Jalan?

Bagaimana pula jika anda ingin melintas, namun tiada lampu isyarat di jalan yang ingin dilintasi?

Anda perlu mencari lintasan belang putih atau zebra crossing yang memerlukan kenderaan berhenti untuk membolehkan pejalan kaki melintas dengan selamat.

Belang putih ini sering dicat di bonggol kelajuan atau speed hump dan di Australia, ianya dikenali sebagai Lintasan Wombat atau "Wombat crossing".

Masalahnya, ramai yang keliru apakah sebenarnya tujuan bonggol yang melintangi jalan.

Sebilangan besar pejalan kaki dan pemandu kenderaan keliru dengan bonggol ini kerana menganggap ianya hanya bertujuan memperlahankan kelajuan kenderaan sahaja.

Jika pejalan kaki dilarang melintas di bahagian jalan yang mempunyai bonggol kelajuan atau speed hump, pihak berkuasa akan meletakkan sekatan atau papan tanda “Tiada akses Untuk Pejalan kaki” atau “No Pedestrian Access” di lokasi terbabit.

Apa yang mengelirukan ialah "zebra crossing", iaitu tempat melintas dan "speed hump" bagi memperlahankan kelajuan kenderaan, kedua-duanya mempunyai cat belang putih.

Apa yang perlu anda pastikan ialah tempat melintas dicat belang putih manakala "speed hump" dicat dengan warna putih seperti kekunci piano di sepanjang tepi bonggol.

Melintasi Jalan Dengan Selamat

Selain itu, cara anda melintas jalan juga penting.


Jelas James Williams dari Kelab Di Raja Automobil RACV, "Pastikan anda lintas megikut jarak paling pendek untuk menyeberangi jalan."



"Jangan melintas jalan dengan jarak melintang."



Juga, tahukah anda sekiranya tiada lampu isyarat dan anda melintas di hadapan kenderaan yang terpaksa brek mengejut yang mungkin menyebabkan kemalangan, pejalan kaki terbabit akan dianggap melakukan kesalahan.



pejalan kaki melintasi persimpangan di bandar.
Pejalan kaki perlu diberi keutamaan apabila sesebuah kenderaan ingin masuk ke jalan masuk rumah atau driveway. Pemandu terbabit perlu membenarkan pejalan kaki lalu terlebih dahulu. Begitu juga di persimpangan. Source: Moment RF / Diane Keough/Getty Images

Apakah Pejalan Kaki Dibenarkan Berjalan Di Laluan Kenderaan?

Pejalan kaki yang tidak mengikut tatatertib berisiko melanggar peraturan dan mungkin di saman.

Umpamanya, berjalan di laluan kenderaan walaupun wujud kaki lima dan jalur rumput atau nature strip.

Jika tiada kaki lima atau jalur rumput, pejalan kaki dibenarkan mengguna laluan kenderaan.

Namun, anda disaran berjalan bertentangan dengan arah tuju kenderaan supaya lebih selamat.
Remaja melintas jalan sambil mendengar muzik melalui telefon bimbit.
Kini telefon bimbit meningkatkan lagi risiko terhadap pejalan kaki yang terlalu asyik dengan alat mobile mereka. Credit: Dobrila Vignjevic/Getty Images

Denda

Undang-undang jalanraya mungkin hampir sama di setiap negeri dan wilayah, namun penalti yang dikenakan terhadap pejalan kaki berbeza bergantung di mana kesalahan berlaku di Australia.

Menurut James Williams, "Umpamanya di Victoria, denda bermula dari $96 sehingga $385 jika pejalan kaki gagal mematuhi arahan pihak polis."

Etika Pejalan Kaki edestrian etiquette

Tak semua kesilapan yang dilakukan oleh pejalan kaki mengundang denda.

Apa yang penting ialah keselamatan diri ketika berjalan kaki di laluan berkenderaan.

Keselamatan diri turut bergantung pada tatatertib pejalan kaki.

Pejalan Kaki Zombie

Kini, satu lagi risiko muncul mengancam keselamatan pejalan kaki yang terlalu asyik menumpukan perhatian terhadap telefon bimbit ketika melintas jalan.

Harold Scruby dari Majlis Pejalan Kaki Australia mempunyai istilah khas untuk golongan ini, terutama di kalangan muda.
Golongan ini digelar pejalan kaki zombie yang kian terbabit dalam kemalangan serius.
Harold Scruby, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pejalan Kaki Australia
Di sesetengah daerah, pejalan kaki yang tidak menumpukan perhatian penuh ketika melintas jalan boleh didenda, namun undang-undang berkaitan isu penggunaan telefon bimbit ketika melintas jalan agak kabur.

Majlis Pejalan Kaki Australia kini menggesa kerajaan mengeluarkan undang-undang ketat bagi melarang pejalan kaki asyik dengan telefon bimbit letika melintas jalan.

Setakat ini, pejalan kaki yang cuai ketika melintasi jalan sambil mengguna telefon bimbit boleh dikenakan denda setinggi $200.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut peraturan bagi pejalan kaki di setiap negeri dan wilayah seluruh Australia, sila layari laman web atau .

Share